.....

12 Julai 2010

"Sir" = Sucikan Maksud dan Tujuan

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


PERHATIKAN SABDA RASULULLAH SAW :
“BARANGSIAPA YANG HIJRAHNYA KEPADA ALLAH DAN RASUL MAKA HIJRAHNYA ADALAH KEPADA ALLAH DAN RASUL. BARANGSIAPA YANG HIJRAHNYA KEPADA DUNIA UNTUK MENDAPATKANNYA ATAU WANITA UNTUK MENGAHWININYA, MAKA HIJRAHNYA TERHENTI PADA TUJUAN HIJRAHNYA ITU”.
FAHAMILAH SABDA RASULULLAH SAW TERSEBUT DAN PERHATIKAN PERSOALANNYA JIKA KAMU BOLEH MEMAHAMINYA. DAN, SELAMATLAH ATAS KAMU.

Hikmat ini adalah lanjutan kepada Kalam Hikmat yang lalu. Keluar dari satu hal kepada hal yang lain adalah hijrah juga namanya. Apa yang didapati dari hijrah ialah apa yang dituju atau dimaksudkan dengan hijrah itu. Orang yang keluar dari penjara hawa nafsu dan dunia kerana inginkan syurga, maka pencariannya akan terhenti pada syurga. Orang yang keluar dari penjara akhirat kerana menginginkan kekeramatan akan berhenti bila berjaya memperolehi kekeramatan. Orang yang keluar dari semua penjara alam kerana bermaksud mencapai Ilmu Allah akan berhenti pada ilmu. Orang yang keluar dari kurungan ilmu kerana mahu mendapatkan makrifat akan berhenti pada makrifat. Semua maksud dan tujuan yang telah dinyatakan tadi menghalang seseorang dari masuk ke Hadrat Allah s.w.t. Hanya satu sahaja tujuan yang benar-benar suci lagi murni, iaitu berhijrah kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Rasulullah s.a.w menyebutkan berhijrah kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya, bukan berhijrah kepada Allah s.w.t semata-mata.

Hijrah zahir adalah berpindah dari Makkah pergi ke Madinah. Hijrah hati adalah meninggalkan sifat-sifat yang keji dan pergi kepada sifat-sifat yang terpuji. Hijrah rohani adalah meninggalkan segala yang maujud dan pergi kepada Rasul Allah kerana hanya Rasul Allah yang boleh membimbing kepada Allah s.w.t, sesuai dengan penyaksian:

Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad Rasul Allah. Ketuhanan Allah s.w.t dan kerasulan Muhammad s.a.w tidak dipisahkan. Rasul Allah adalah umpama jambatan yang menghubungkan segala sesuatu dengan Allah s.w.t. Bagaimana mahu sampai kepada Allah s.w.t jika tidak melalui jambatan-Nya. Apa juga usaha dan jalan yang diambil untuk pergi kepada Allah s.w.t, tidak akan berhasil jika tidak diikuti jalan Rasul Allah. Bahkan bolehlah dikatakan Allah s.w.t tidak mungkin ditemui jika Rasul-Nya tidak ditemui. Muhammad s.a.w adalah Rasul Allah. Semua nabi-nabi sejak Nabi Adam a.s menyaksikan bahawa Muhammad s.a.w adalah Rasul Allah. Tidak ada kenabian tanpa nur Kenabian Muhammad s.a.w. Tiada syuhud (penyaksian) tanpa syuhud terhadap nur Kebenaran Muhammad s.a.w. Tidak akan sampai kepada Hakikat Allah s.w.t tanpa fana di dalam Hakikat Muhammad s.a.w. Tiada makrifatullah tanpa makrifat Muhammad s.a.w. Begitulah hukum hakikat dan makrifat. Penyaksian ketuhanan Allah s.w.t dan penyaksian kerasulan Muhammad s.a.w tidak boleh bercerai tanggal.


Allah berfirman dalam Hadis Qudsi yang bermaksud:
Wahai Muhammad! Kamu melihat mereka melihat kamu, dan meskipun mereka melihat kamu namun, mereka tidak mengenal kepada kamu.

Orang yang paling hampir dengan Rasulullah s.a.w adalah Saidina Abu Bakar as-Siddik r.a. Beliau berkata: “Wahai Rasulullah. Engkau tidak terpisah daripadaku meskipun aku berada di dalam bilik kakus (tempat membuang air) “

Kelebihan Abu Bakar r.a dari sekalian manusia adalah lantaran Sir yang ada pada dirinya. Sir (Rahsia) adalah perkaitan atau jambatan antara roh dengan Allah s.w.t. Sir yang tersembunyi dalam rahsia hati berkekuatan melebihi kekuatan langit dan bumi. Sir dapat memandang tanpa biji mata dan mendengar tanpa telinga. Sir tidak menetap di satu tempat dan tidak pula mengembara. Sir tidak makan dan tidak minum. Akal tidak ada pengetahuan tentang Sir. Sir tidak ada hubungan dengan hukum sebab musabab. Sir hidup dalam abad demi abad, sedangkan jasad hidup dalam waktu tertentu. Bila seseorang yakin tentang sirnya maka dia bukan lagi dirinya. Dia adalah daripada Allah s.w.t, sedangkan sekalian yang maujud datang kemudian daripadanya. Tidak ada satu pun yang datang kemudian daripadanya dapat mengalahkannya, asalkan dia mengenal kedudukannya dan membiasakan duduk di dalam makamnya, maka dengan demikian dia lebih kuat dari bumi dan langit, lebih kuat dari syurga dan neraka, lebih kuat dari huruf dan asma’, lebih kuat dari apa yang nyata di dalam dunia dan akhirat. Bagaimana hubungan hati seseorang dengan Rasulullah s.a.w menentukan kedudukan sirnya. Hati yang menerima pancaran cahaya nur Rasulullah s.a.w dikatakan hati yang ada perkaitan dengan Sir.

Hijrah rohani melalui berbagai-bagai peringkat sebelum sampai kepada Allah s.w.t. Seseorang salik atau murid yang melakukan hijrah rohani kepada Allah s.w.t tidak akan berhasil mencapai maksudnya jika dia tidak ‘bersama’ Muhammad s.a.w kerana semua pintu langit, semua pintu syurga, semua pintu hijab dan pintu masuk ke Hadrat Allah s.w.t hanya dibuka kepada Muhammad s.a.w dan yang menyertai Muhammad s.a.w. Berhijrah kepada Allah s.w.t tetapi lari dari Muhammad s.a.w adalah kejahilan.

Salik yang benar pada hijrahnya, mula-mula dikurniakan cahaya yang menerangi hatinya, membuatnya merasakan hampir dengan Allah s.w.t, dan hatinya merasakan Allah s.w.t berbicara dengannya. Apa sahaja yang sampai kepada hatinya adalah juru bicara Allah s.w.t. Kemudian dia dibawa kepada makam makrifat iaitu saling kenal mengenal. Jadilah dia seorang yang mengenal Allah s.w.t. Makam ini adalah permulaan makam kesudahan. Ahli tasauf sering mengucapkan:

Permulaan agama ialah mengenal Allah s.w.t.Hijrah bersama-sama Rasulullah s.a.w meletakkan makrifat sebagai permulaan, sedangkan hijrah tanpa Rasulullah s.a.w menjadikan makrifat sebagai kesudahan jalan. Sebab itu orang yang berhijrah tanpa Rasulullah s.a.w, setelah memperolehi makrifat mereka beragama dengan cara lain dari cara Rasulullah s.a.w beragama. Mereka tidak lagi berpegang kepada Sunah Rasulullah s.a.w. Sebenarnya mereka baharu berada di ambang pintu agama, belum lagi masuk ke dalam gerbang agama yang benar, yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w.

Setelah mencapai makrifat, orang arif menanggalkan segala-galanya. Dia tidak lagi bersandar kepada amal, ilmu, makrifat, aulia yang agung, malaikat dan semua yang selain Allah s.w.t. Dia mengikhlaskan hati pada semua perbuatannya dan niatnya hanya tertuju kepada Allah s.w.t. Dia membenamkan dirinya ke dalam sabar menghadapi apa juga ujian dan fitnah. Kuatlah dia berserah diri dan tawakal kepada Allah s.w.t. Kemudian dia naik kepada reda dengan segala hukum dan takdir Allah s.w.t. Seterusnya dia masuk ke dalam makam syuhud, iaitu menyaksikan-Nya dengan mata hati. Masuklah dia ke dalam makam keteguhan. Pada peringkat ini dia sudah melepasi makam kalbu, kerana kalbu adalah keadaan yang berbalik-balik, berubah-ubah, tidak tetap dan tidak teguh. Bila dia sudah berada dalam keteguhan maka dihulurkan kepadanya perjanjian kewalian. Kewalian bukanlah kekeramatan. Sikap menghubungkan kewalian dengan kekeramatan adalah kesilapan yang besar. Sikap beginilah yang membuat orang tertipu dengan keramat khadam dan jin. Ada pula yang tertipu dengan sihir yang dilakukan oleh syaitan.

Kewalian sebenarnya menggambarkan tentang nama Allah s.w.t, al-Waliyyu, yang bermaksud Yang Menjaga, Yang Melindungi dan Yang Memelihara. Orang yang dijadikan-Nya wali adalah orang yang dibawa masuk ke dalam wilayah-Nya atau penjagaan, perlindungan dan pemeliharaan-Nya, dari berbalik mata hatinya kepada selain Allah s.w.t. Seorang wali ialah orang yang tetap penglihatan mata hatinya kepada Allah s.w.t walau dia di dalam kesibukan sekalipun. Semua sahabat Rasulullah s.a.w adalah wali-wali tetapi jarang kedengaran mereka mempamerkan kekeramatan. Rasulullah s.a.w sendiri bersama-sama sahabat termulia, Abu Bakar as-Siddik r.a, berhijrah dari Makkah ke Madinah dengan berjalan kaki dan menaiki unta, bukan terbang di udara dan sampai di Madinah dalam sekelip mata. Aulia Allah yang agung mengatakan kekeramatan adalah permainan kanak-kanak yang diperlukan seseorang untuk meneguhkan iman, sedangkan orang yang sudah teguh imannya tidak memerlukan kepada keramat. Seorang wali Allah s.w.t mengatakan orang yang keramat bukanlah orang yang dapat mengeluarkan wang dari poketnya yang kosong atau menukar daun kayu menjadi wang kertas. Seorang yang keramat ialah orang yang poketnya penuh dengan wang, tetapi bila dia cuba mengambil wang di dalam poketnya itu didapatinya semua wang itu tidak ada, walaupun begitu hatinya tidak berkocak sedikit pun oleh hal tersebut, dia tidak berasa apa-apa. Jadi, kewalian adalah istiqamah iaitu keteguhan bersama-sama Allah s.w.t, bukan kekeramatan. Andainya Allah s.w.t melahirkan kekeramatan melalui wali-Nya itu adalah kerana hikmah yang Dia sendiri mengaturnya kerana tujuan yang hanya Dia mengetahuinya.

Orang yang berada di dalam wilayah-Nya akan dibawa pula kepada makam pilihan. Setelah dipilih-Nya diserahkan amanat dan disingkapkan kepadanya khazanah Rahsia-rahsia-Nya. Orang yang berada pada peringkat ini sudah dapat menyimpan Rahsia-rahsia Allah s.w.t, tidak membeberkannya sebagai barang murahan yang boleh menyebabkan berlaku fitnah kepada orang ramai. Setelah itu semua dilalui, jadilah dia seorang khalil atau sahabat setia. Seorang khalil dapat mencapai makam al-mahabbah (makam cinta). Makam cinta ini dinamakan makam as-Sir iaitu makam Hakikat Muhammad s.a.w. Kefanaan di dalam makam Mahabbah ini membakar segala tutupan dan hijab lalu tersingkaplah kemutlakan. Lalu si hamba masuk ke Hadrat Allah s.w.t dengan didorong oleh tarikan yang kuat oleh cahaya nur yang pada sisi-Nya. Selamatlah si hamba itu sampai ke Hadrat Tuhannya. Allah s.w.t yang memulakan ciptaan-Nya dan mengulanginya. Permulaan segala sesuatu ialah Allah s.w.t dan akhirnya juga adalah Allah s.w.t. Dia Yang Awal dan Yang Akhir. Kami datang dari Allah s.w.t dan kepada Allah s.w.t kami kembali.



Rujukan : Memurnikan Aqidah & Akhlak Muslim



"Hendaklah engkau memperelokkan budi pekerti dan banyak berdiam diri, demi diriku dalam kekuasaanNya, alangkah semua makhluk mencontohi kedua-duanya"
-(H.R.ABU YA'LA)-
"Siapa yang berlatih kesabaran, nescaya Allah akan menyabarkan (menjadikannya sabar)"
~(H.R.BUKHARI & MUSLIM)~

Baca Selengkapnya....

Apa itu "Hazar"? Konsep & Pengertiannya Dalam Perjuangan Islam

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Salam Mahabbah Wa Rahmah


Sahabat dikasihi dan dirahmat Allah.. Semoga setiap gerak laku kita menjadi perhatian pencipta yang Sentiasa Memperhatikan dan Mencatat amalan perbuatan kita. Entri kali ini ana mengajak rakan memahami 'Apa itu "Hazar"'?

PENGERTIAN HAZAR

Hazar pada bahasa memberi makna menjaga, mengumpul, dan menghimpun, tersembunyi, tersimpan dan hati-hati.

Kesemua pengertian hazar pada bahasa ini membentuk pengetiannya dari segi istilah, iaitu suatu sikap berhatihati dengan menjaga dan menyimpan maklumat-maklumat serta himpunan rahsia dari segi perkara yang menakutkan dan dari orang-orang yang benci kepadanya. Sikap ini disebut dalam bahasa sebagai waspada.
Perkataan hazaran, (pecahan-pecahannya) disebut sebanyak 21 kali di dalam 12 surah di dalam al-qur’an. 4 surah daripadanya adalah Makkiyah sementara 8 lagi adalah Madaniyyah. Kesemuanya ini memerlukan kepada satu pemerhatian yang lain.


SALAH ANGGAP TERHADAP WASPADA / HAZAR


Dari maksud pengertian di atas, dapat disimpulkan bahawa waspada itu sebenarnya bersumberkan ilmu pengetahuan terhadap sesuatu. Dalam erti kata lain ialah sesuatu sikap yang akan diambil ekoran dari tuntutan waspada adalah didasarkan kepada satu kajian mengenai sebab dan akibat juga kesan terhadap akibat yang menimpa. Ini bukan berlaku secara membabi buta.

Sikap waspada juga adalah bertunggakkan perancangan jamaah yang berusaha mengurangi akibat yang menimpa jamaah dan diri individu dalam jamaah.

Waspada bukanlah yang mendorong orang kian takut untuk menjalankan kerja-kerja Islam. Waspada bukan membuatkan orang berputus asa dan menyerah kepada takdir. Sebaliknya waspadalah yang menjadikan seseorang semakin cekal untuk ‘amal Islami’, sebab dia tahu jatuh bangun kerjanya melalui pengalaman yang panjang dan perancangan yang teliti. Namun demikian perlu diingatkan kepada anggota gerakan bahawa kewaspadaan haruslah kena pada tempatnya.

Akibat dari mengambil sikap yang terlalu berhati-hati akan menyebabkan seseorang menjadi takut bayang-bayang sendiri. Inilah yang perlu dielakkan kerana ini bukanlah sifat terpuji, bahkan ia adalah sifat yang keji. Ramai penggerak-penggerak harakah Islamiyyah yang tertipu dengan ungkapan berhati-hati dan berwaspada yang menyebabkan akhirnya mereka tidak boleh bergerak, keluar dari kepompong kehinaan, kejahilan dan kelemahan. Bahkan akibat terlalu takut ramai dikalangan penggerak Islami ini yang lari dari medan pertempuran dan jihad yang menjadi kewajipan mereka. Lihatlah betapa ramai yang beralasan untuk tidak berjuang dalam gerakan Islam kerana takut dipecat, diambil tindakan, terikat dengan akujanji dan seumpamanya, yang semuanya bermain dengan alasan.

Oleh itu, hazar dengan maksud di atas adalah merupakan sifat yang terpuji, sifat orang beriman dan berakal yang mengetahui sebab akibat. Orang-orang jahil, mereka tidak mengetahui hazar, mereka menjadi berani tidak bertempat, takut tidak berwaktu. Orang-orang jahil dan orang kafir tidak mengamalkan hazar kerana mereka tidak pernah mengalami kesukaran sepertimana yang dialami oleh pejuang-pejuang Islam.

Orang-orang jahil yang saban harinya diulit dengan kesenangan, kekenyangan, dan kemudahan tidak ada apa yang ditakuti, kegiatan mereka juga tidak ditakuti dan dicemburui kerana mereka tidak pernah membawa panji-panji dakwah Islamiyyah. Tetapi lihatlah apa yang dialami oleh pejuang-pejuang Islam, sejak zaman Nabi a.s., Nabi saw sendiri sehinggalah kepada zaman mutakhir para pejuang Islam akan sentiasa diburu, dibunuh, dipenjarakan, diseksa, ditekan dan ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan. Inilah yang mendewasakan pejuang Islam dan dengan amalan hazar ini akan menjadikan gerakan Islam sentiasa bernafas dan bergerak setiap zaman.


PERINTAH MENJAGA HAZAR.

Perintah menjaga hazar dapat digali dalam sirah baginda saw, iaitu yang masyhur adalah ketika baginda berhijrah ke madinah bersama-sama sahabat setianya Abu Bakar r.a. para ulama’ berpendapat bahawa tindakan Nabi saw berhijrah bersama-sama dengan Abu Bakar r.a. dalam keadaan hazar (berwaspada) dalam suasana malam dan sunyi, yang mana tempat tidurnya diganti oleh Saidini Ali r.a. adalah tindakan yang septutnya diambil oleh manusia biasa yang lainnya.

Inilah sunnah yang perlu diikuti oleh setiap penggerak harakah Islamiyah iaitu mengambil langkah berhati-hati mengelakkan dari ditangkap oleh musuh-musuh. Nabi saw mengamalkan hijrah dalam keadaan rahsia walaupun baginda sentiasa dipelihara oleh Allah menunjukkan bahawa taktik dan strategi sirr dan hazar adalah sunnah yang patut diamalkan, berbeda dengan tindakan Saidina Umar r.a. yang berhijrah dalam keadaan mengisytiharkan dirinya dalam keadaan pedang terhunus, bukan juga menunjukkan tindakannya adalah keterlaluan ataupun jahil, tetapi sebagai petanda bahawa Umar memiliki keistimewaan tersendiri.

Selain itu dalam Al-Qur’an Allah swt berfirman:
“Jika engkau Muhammad berada di antara mereka yang Islam, lalu ingin mendirikan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan dari mereka berdiri solat besertamu dan menyandang senjata, kemudian apabila mereka (yang solat bersamamu) sujud (telah menyempurnakan satu rakaat), maka hendaklah datang golongan kedua yang belum bersembahyang, lalu bersembahyanglah mereka denganmu dan hendaklah mereka bersiap siaga dan menyandang senjata. Orang-orang kafir ingin supaya kamu lengah terhadap senjatamu dan harta bendamu, lalu mereka menyerbu kamu dengan sekaligus, dan tidak ada dosa atasmu meletakkan senjata-senjatamu, jika kamu mendapat sesuatu kesusahan kerana hujan atau kerana kamu menanggung sakit, dan siap sedialah kamu. Sesungguhnya Allah telah menyediakan azab yang hina bagi orang-orang kafir.” (An-Nisa’ : 102)

ayat di atas dengan tegas menunjukkan wajib berhazar dengan diterangkan kaedah dan cara-cara berwaspada, diperintahkan memegang senjata dalam solat, diperintahkan agar kaum muslimin yang lain berdiri di belakang orang-orang yang sedang sembahyang agar memelihara mereka dari serangan musuh. Kaum muslimin dibahagikan kepada dua kelompok, satu kelompok mengerjakan sembahyang dan satu lagi kelompok menjaga mereka.

Diterangkan juga orang-orang kafir ingin melalaikan kaum muslimin dan berusaha menghancurkan mereka sekaligus. Semua ini membuktikan wajib hazar dari sesuatu yang tidak disenangi.

Firman Allah swt :

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman berwaspadalah kamu dan majulah (ke medan pertempuran) bersama-sama” (An-Nisa’ : 81)

Perintah ini ditujukan kepada kaum muslimin agar berjihad terhadap orang-orang kafir, berperang pada jalan Allah dan berusaha mempertahankan agama dan diperintahkan kepada orang yang berkemampuan untuk menyebarkan dakwah. Mereka juga diperintahkan supaya tidak menyerang musuh membuta-tuli, tetapi harus terlebih dahulu mengetahui apa yang dimiliki oleh musuh dan mengetahui bagaimana cara menolak serbuan mereka. Itulah kaedah pertahanan yang baik.


HAZAR DAN KEPENTINGANNYA DALAM PERJUANGAN ISLAM

Bentuk-bentuk hazar dalam perjuangan dapat dibahagikan kepada dua bentuk:
1. Hazar terhadap musuh luaran
2. Hazar terhadap musuh dalaman

Hazar terhadap musuh luaran ialah waspada terhadap orang-orang kafir dan munafik yang sentiasa berusaha menghancurkan Islam. Kerosakan yang menimpa kaum muslimin akibat perbuatan orang-orang munafik mengikut sejarah Islam amat besar. Kadang-kadang menghadapi mereka adalah lebih sukar kerana orang-orang kafir jelas nyata permusuhannya terhadap Islam, sedangkan orang-orang munafik menyembunyikan permusuhan mereka, jangan sama sekali mempercayai kata-kata manis mereka bahkan harus berusaha menutup pintu di hadapan mereka serta berusaha menghancurkannya. Allah swt berfirman tentang sifat orang-orang munafik dan harus waspada menghadapi mereka.

“Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum, dan jika mereka berkata-kata kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu tersandar. Mereka mengira bahawa setiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya). Maka waspadalah terhadap mereka, semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka dipalingkan dari kebenaran” (al-Munafikun : ayat 4)


HAZAR TERHADAP MUSUH DALAMAN
1. Waspada dari kemaksiatan
2. Waspada dari mengikut hawa nafsu
3. Waspada dari keluarga dan anak-anak.

1. Waspada dari kemaksiatan
Firman Allah swt;

“Dan Allah mewaspadakan kamu terhadap diriNya” (Ali Imran : 28)

Mewaspadakan di dalam ayat tersebut ialah mempertakutkan dengan siksaanNya apabila kamu mengerjakan kemaksiatan lantaran kemaksiatan itu menyebabkan kemurkaan Allah dan membatalkan pertolonganNya.oleh itu, pendakwah harus merasa takut dan waspada dengan turunnya azab Allah, terhentinya bantuanNya dan terbatal setiap bentuk pertolonganNya.

Da’ie perlu sentiasa berpegang teguh kepada Allah, menyerah dan bertawakkal kepadaNya serta menjauhi diri dari kemurkaanNya. Ingatan daie harus terus menerus kepada Allah tanpa ada rasa riya’, suka dipuji dan ujub.

2. Waspada dari mengikut hawa nafsu
Pendakwah tidak sewajarnya mengikut dorongan nafsu yang menyeretnya meninggalkan kebenaran atas alasan ramainya pengikut, meluasnya dakwah dan sebagainya.

Firman Allah swt:
“ Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka mengikut apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka, dan berhati-hatilah kamu terhdapa mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian peraturan yang Allah turunkan kepadamu” (Al-Maidah: ayat 49)

3. Waspada dari keluarga dan anak-anak
Cinta kepada keluarga dan anak-anak kadangkala menjadi fitnah dan penghalang kepada daie untuk berjihad dan berdakwah atas alasan berada di tengah-tengah keluarga adalah tenang dan tenteram.

Justeru, setiap tipudaya keluarga harus disingkirkan lantaran tuntutan jamaah adalah lebih aula dan hak.

Firman Allah swt:
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya di antara isteri-isteri dan anak-anak kamu ada yang menjadi musuhmu. Maka hendaklah kamu hazar dari mereka” (At Taghabun : 14)


PENUTUP
Semoga perbincangan ringkas ini memberikan kesedaran kepada kita akan peri pentingnya hazar dalam gerak kerja dakwah. Kesilapan yang lalu tidak perlu diulangi dan segala pengalaman perlu dipelajari. Kita perlu menyedari bahawa musuh-musuh Islam sentiasa mengepung dan sentiasa mengintai-intai peluang untuk menghancurkan Islam dari segenap penjuru.


Rujukan : Pemuda Wilayah

"Hendaklah engkau memperelokkan budi pekerti dan banyak berdiam diri, demi diriku dalam kekuasaanNya, alangkah semua makhluk mencontohi kedua-duanya"
-(H.R.ABU YA'LA)-
"Siapa yang berlatih kesabaran, nescaya Allah akan menyabarkan (menjadikannya sabar)"
~(H.R.BUKHARI & MUSLIM)~

Baca Selengkapnya....

Wahai Wanita & Muslimah, Bacalah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sebagai Perkongsian Bersama..

Abg, Lia tau abg nak Lia pakai tudung labuh, ngan stoking lengan sume tu, tp Lia tak nak la buat kerana abg, klu bleh biarlah datang dari hati Lia sendiri..” keluhan si isteri.

Zamani tunduk akur.. Kopi yang panas itu diletakkan ditepi. Seleranya padam.

Dia tahu, sejak bertunang lagi dia dah tekad untuk mendidik isterinya, Natalia. Gadis tinggi lampai itu betul-betul memikat hatinya sejak berkenalan di kampus 3 tahun yang lalu. Terkenang bicara gadis itu lagi 3 tahun lalu dirumah ibu mertuanya.

“Cantik Lia pakai camni, Zam suke, kalu hari-hari camni kat kampus kan bagus,” puji Zam. Matanya yg memandang td terus ditundukkan. bimbang menjadi fitnah sebelum Lia menjadi bidadarinya yang sah.

Teh yang dituang tertumpah. Pn Zainab, ibu kepada Lia menyeruh anak perempuannya berhenti menuang. Tersipu-sipu malu, pipinya kemerahan.

“Lia tau Zam suke pakaian cani, tp maaf la ye, Lia tak dpt nak pakai camni lagi kat kampus, Lia tgh cube-cube la nih, lepas nikah nanty insyaAllah, Lia akan pakai ikot apa yang Zam nak la. didik la Lia ye..”

Lamunannya terhenti dek tangisan bayi meminta di dodoikan. Dia.....



(Diadaptasi dan diubahsuai dari cerpen seorang ikhwah Indonesia.)

**********************************************************


“Hanya kepada Allah-lah sujud (patuh) segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan kemahuan sendiri ataupun terpaksa (dan sujud pula) bayang-bayangnya di waktu pagi dan petang hari.” (QS 13:15)



Pernah mendengar situasi diatas? Inilah penyakit yang dinamakan nak berubah tp tak mahu hipokrit. Suka untuk saya ambil adalah analogi dari Ustaz Zaharuddin mengenai pemandu.



“Sebagaimana seorang pemandu tidak berhemah warganegara Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK), dia akan terpaksa mengubah cara pemanduannya kerana hemah pemandu di UK amat tinggi, sesiapa sahaja yang kurang berhemah akan segera mendapat teguran pemandu lain, malah adakalanya pemandu lain akan segera menelefon polis atau mencatat nombor plat kereta untuk diadukan kepada polis.



Atas sebab itu, pemandu yang asalnya ‘brutal' di Malaysia, TERPAKSA berubah di UK. Tidak kiralah sama ada dia berubah kerana hipokrit, terpaksa, tidak ikhlas atau apa jua sebab lauaran. Hakikatnya, dia MESTI berubah, kerana itu adalah system dan regulasinya. Mengabaikannya akan membawa mudarat kepada diri sendiri dan pemandu orang lain.
Sama seperti menutup aurat dan bertudung, itu adalah regulasi oleh agama Islam, mengabaikannya akan membawa mudarat spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain (kerana setiap lelaki yang melihat aurat wanita bukan mahram, akan berdosa dan dosanya dikongsi bersama oleh wanita tersebut).!



Justeru itu, hipokrit tidak boleh sama sekali menjadi PENGHALANG untuk mengerjakan semua KEWAJIBAN agama, termasuk menutup aurat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambanya.”



Seperti itu juga kita solat, seusia 10 tahun, Rasulullah mengajarkan untuk memukul anak dengan pengertian untuk mengajar jika tidak menunaikan solat. Jadi adakah Rasulullah mengajarkan kita untuk memaksa anak kecil supaya solat? Tidak, kerana TERPAKSA atau tidak, solat harus dijalankan dan begitu juga dengan puasa, dan zakat. Hal yang sama terjadi bila jatuh hukumnya WAJIB maka TERPAKSA atau tidak, HIPOKRIT atau tidak, IKHLAS atau tidak, kita WAJIB menunaikannya.



Jadi jom jika lihat kembali hukum menutup aurat secara SEMPURNA yang diajarkan Rasulullah saw 1400 tahun yang lalu dan yang tercatat dalam Quran.



“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya…” (QS 24:31)



“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS 33:59)



Tak perlulah saya menafsirkan panjang lebar ayat-ayat diatas kerana ini adalah ayat2 muhkamat, yakni ayat2 yang jika dibaca ianya bersifat tegas, jelas dan mudah difahami. Jelas sudah tuntutan menutup aurat secara SEMPURNA itu hukumnya wajib. Namun had2 kesempurnaan dalam menutup aurat itu masih lagi didebatkan, fatwa Qardhawi dan Syeikh Nasiruddin mengatakan berpurdah itu tak wajib, manakala Syeikh Abdul Aziz b Baaz dari Saudi memfatwakan sebagai wajib dan masih ada beberapa khilaf para ulama dalam menentukan had2 kesempurnaan ini.



Namun begitu, kita kembali kepada reality kita di Malaysia saat ini. Adakah sudah sempurna kamu menutupkan aurat kamu wahai wanita-wanita sekalian? Atau masihkah rasa IKHLAS yang tak muncul-muncul menjadi halangan untuk menyempurnakannya? Atau bimbang di labelkan sebagai HIPOKRIT? Persoalankan hal ini.. tolonglah..



Jadi ingatlah sgt2, tak kira samada IKHLAS atau TIDAK, lakukanlah dengan terpaksa. Ya, dengan TERPAKSA. Kerana sekurang-kurangnya apa yang kamu lakukan secara TERPAKSA itu lama kelamaan akan menjadi kebiasaan kamu, lalu ia bertukar menjadi WATAK. keikhlasan boleh disemai, namun WATAK yg baik sukar disemai tanpa KETERPAKSAAN. Just a piece of mind to be shared. Think of it.

Sumber : what we do in life echoes...
"Hendaklah engkau memperelokkan budi pekerti dan banyak berdiam diri, demi diriku dalam kekuasaanNya, alangkah semua makhluk mencontohi kedua-duanya"
-(H.R.ABU YA'LA)-
"Siapa yang berlatih kesabaran, nescaya Allah akan menyabarkan (menjadikannya sabar)"
~(H.R.BUKHARI & MUSLIM)~

Baca Selengkapnya....

10 Julai 2010

Fadhilat Qiamullail Buat Diri & Hati

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Rakan yang dikasihi Allah sekelian... kelebihan besar Qiamullail menggamit hati bernama insan. SUBHANALLAH, besar rupanya fadhilat berqiam bagi diri individu. Ramai yang tertanya...

"bagaimana hendak bangun ditengah malam menunaikan solat tahajjud.. sudah mencuba, tetapi tidak dapat."


"Dulu ana sering dan rajin melakukan solat sunat dimalam hari... tapi kini, tidak tahu mengapa sukar untuk bangun ditengah malam." 

 dan...

"mengapa ye wajah orang yang berqiam/ bertahajjud @ solah sunnat ditengah malam mendapat cahaya..."



 Firman Allah SWT dalam surah Al-Muzammil: Ayat 1 – 10:

يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ (١)قُمِ اللَّيْلَ إِلا قَلِيلا (٢)نِصْفَهُ أَوِ انْقُصْ مِنْهُ قَلِيلا (٣)أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلا (٤)إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلا ثَقِيلا (٥)إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا وَأَقْوَمُ قِيلا (٦)إِنَّ لَكَ فِي اَلنَّهَارِ سَبْحًا طَوِيلا (٧)وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلْ إِلَيْهِ تَبْتِيلا (٨)رَبُّ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ لا إِلَهَ إِلا هُوَ فَاتَّخِذْهُ وَكِيلا (٩)وَاصْبِرْ عَلَى مَا يَقُولُونَ وَاهْجُرْهُمْ هَجْرًا جَمِيلا (١٠)

1. Wahai orang Yang berselimut!.
2. bangunlah sembahyang tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),
3. Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,
4. ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran Dengan "Tartil".
5. (Sayugialah Engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing Dengan Ibadat Yang berat kepada hawa nafsu, kerana) Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran Yang mengandungi perintah-perintah) Yang berat (kepada orang-orang Yang tidak bersedia menyempurnakannya).
6. sebenarnya sembahyang dan Ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.
7. (Kami galakkan Engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana Sesungguhnya Engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan Yang panjang kira bicaranya;
8. dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadanya Dengan sebulat-bulat tumpuan.
9. Dia lah Tuhan Yang Menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan dia; maka Jadikanlah Dia penjaga Yang menyempurnakan urusanmu.
10. dan Bersabarlah terhadap apa Yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka Dengan cara Yang baik.

Mari sahabat, sejenak kita mencari pengisian bagaimana proses penyucian hati dan bermuhasabah serta merenung apa yang disampaikan ini. InsyaAllah.. semoga memberi manfaat bersama buat seluruh hambaNya yang membaca.


Diantara nash-nash Quran yang menerangkan tentang qiamullail adalah:

Firman Allah SWT:

إِنَّ رَبَّكَ يَعْلَمُ أَنَّكَ تَقُومُ أَدْنَى مِنْ ثُلُثَيِ اللَّيْلِ وَنِصْفَهُ وَثُلُثَهُ وَطَائِفَةٌ مِنَ الَّذِينَ مَعَكَ وَاللَّهُ يُقَدِّرُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ عَلِمَ أَنْ لَنْ تُحْصُوهُ فَتَابَ عَلَيْكُمْ فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ عَلِمَ أَنْ سَيَكُونُ مِنْكُمْ مَرْضَى وَآخَرُونَ يَضْرِبُونَ فِي الأرْضِ يَبْتَغُونَ مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَآخَرُونَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَأَقْرِضُوا اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا وَمَا تُقَدِّمُوا لأنْفُسِكُمْ مِنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِنْدَ اللَّهِ هُوَ خَيْرًا وَأَعْظَمَ أَجْرًا وَاسْتَغْفِرُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (٢٠)

Ertinya: Sesungguhnya Tuhanmu (Wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya Engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya; dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang Yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah Yang terdahulu); padahal Allah jualah Yang menentukan Dengan tepat kadar masa malam dan siang. ia mengetahui Bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira Dengan tepat kadar masa itu, lalu ia menarik balik perintahNya Yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana Yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang). ia juga mengetahui Bahawa akan ada di antara kamu orang-orang Yang sakit; dan Yang lainnya orang-orang Yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan Yang lainnya lagi orang-orang Yang berjuang pada jalan Allah (membela ugamanya). maka bacalah mana-mana Yang sudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman Yang baik (ikhlas). dan (ingatlah), apa jua kebaikan Yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan Yang sebaik-baiknya dan Yang amat besar pahalaNya. dan mintalah ampun kepada Allah; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah Al-Muzammil: Ayat 20)

Firman-Nya,

وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًا وَقِيَامًا (٦٤)

Ertinya: “Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) Yang tekun mengerjakan Ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari Dengan sujud dan berdiri,”
(Surah Furqan: Ayat 64)

Hadis nabi SAW yang menerangkan tentang keutamaan Qiamullail di antaranya adalah sabda baginda:

Ertinya: "Solah yang paling utama setelah solah wajib ialah qiamullail (solah ditengah malam)."
(Hadith Muttafaq' Alaih)

Selain itu dikuatkan oleh hadis berasal dari Aisyah yang berkata: "Adalah Rasulullah SAW melakukan solah diantara solah Isyak dan solah fajar sebanyak 11 rakaat, yang setiap 2 rakaat diakhiri dengan salam, kemudian berwitir pada satu rakaat terakhir."

Diceritakan kepada beliau tentang orang yang tidur semalam suntuk tanpa mengingati untuk bersolah. Maka baginda mengatakan; "Orang tersebut telah dikencing syaitan di kedua telinganya."
(Hadith Muttafaq' Alaih, dari hadis Ibnu Mas'ud)


Dari Abu Hurairah ra. dikatakan, Rasulullah SAW bersabda:

Ertinya: "Syaitan mengikat pada tengkuk tiap orang di antara kamu, ketika ia tidur, dengan tiga ikatan (simpul), setiap simpulnya ditiupkan ucapannya, “Bagimu malam yang panjang, tidurlah dengan nyeyak.” Maka apabila ia bangun dan menyebut nama Allah, terurailah satu simpul, bila ia berwudhuk, terurailah satu simpul lagi dan ketika ia solah, maka terurailah simpul terakhir lalu di pagi hari dirinya menjadi segar, bersemangat dan hatinya pun terang. Jika tidak, maka di pagi hari jiwanya dililit kekalutan dan malas untuk beraktiviti.”
(Hadith Muttafaq’ Alaih)


Ketika orang-orang sudah lelap dalam tidurnya, Ibnu Mas’ud justeru mulai bangun untuk solat tahajjud, sehingga terdengar seperti suara dengungan lebah, sampai menjelang fajar menyingsing. Ditanyakan kepada Hasan al-Bashri, “Mengapa orang-orang yang suka bertahajjud itu wajahnya paling bercahaya di antara yang lain?” Ia menjawab, “Kerana mereka suka berduaan bersama Allah Yang Maha Rahman; maka Allah menyelimuti mereka dengan cahayaNya.”

Hasan al-Bashri juga pernah berkata, bahawa sesungguhnya orang yang telah melakukan dosa, akan terhalang dari qiamullail. Ada seorang bertanya kepada orang soleh: “Saya tidak dapat bangun untuk qiyamullail, maka beritahukanlah apa yang harus saya lakukan?” Orang soleh itu berkata: “Jangan engkau bermaksiat kepadaNya pada waktu siang, nescaya Dia akan membangunkanmu untuk beribadah kepadaNya, diwaktu malam.” Di dalam suatu riwayat, Sufyan ats-Tsauri mengatakan: “Aku terhalang untuk melakukan qiyamullail selama lima bulan, akibat dari satu dosa yang aku lakukan.”

Ibnu Mubarrak berkata dalam bait syairnya:

Saat malam tiba berselimut gelita
Kala manusia lain lelap dalam tidurnya
Mereka lawan beratnya malam dengan ibadat
Untuk merebak cahaya Yang Kuasa
Rasa takut kepadaNya menerbangkan mengantuk mereka
Sedang orang yang merasa aman dari murkaNya
terbuai dalam mimpi-mimpinya.

Abu sulaiman berkata: “Malam hari bagi orang yang setia beribadat di dalamnya, itu lebih nikmat daripada permainan bagi mereka yang suka hidup bermain-main. Seandainya tanpa malam aku tak suka tinggal di dunia ini.”

Ibnu Munkadir berkata: “Bagiku, kelazatan dunia ini hanya ada pada tiga perkara, qiyamullail, bersilaturrahim dengan ikhwan dan solah berjemaah.”

Allah bermegah dengan hamba-hambaNya yang bangun ditengah malam. hadith Qudsi meriwayatkan: mereka yang bangun ditengah malam mengerjakan solah, disediakan syurga buat mereka.

MasyaAllah...mana lagi kita mahu mengadu, berkasih dan mencari ketenangan ya sahabat yang dirahmati Allah sekalian...segalanya bermula antara kita dan pencipta..selesai dan baik urusan kita denganNya, maka mudah dan tenanglah segalanya yang dilalui.


**************** InsyaAllah ****************

"Hendaklah engkau memperelokkan budi pekerti dan banyak berdiam diri, demi diriku dalam kekuasaanNya, alangkah semua makhluk mencontohi kedua-duanya"
-(H.R.ABU YA'LA)-
"Siapa yang berlatih kesabaran, nescaya Allah akan menyabarkan (menjadikannya sabar)"
~(H.R.BUKHARI & MUSLIM)~

Baca Selengkapnya....

09 Julai 2010

Dimanakah DOA Kita...

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Seringkali kita mendengar keluhan sesetengah orang yang mengatakan bahawa dia telah sekian lama berdoa namun tidak dikabulkan. Tahukan anda bahawa perbuatan sebegini sebenarnya adalah antara punca sesuatu doa itu tidak dikabulkan?

Daripada Abu Hurairah .a., bahawa (maksudnya) :
Rasulullah SAW bersabda, "Doa seorang hamba tentu akan dimakbulkan selama mana dia tidak berdoa yang isinya mengandungi dosa, untuk maksud memutuskan silaturrahim, atau minta segera dikabulkan". Ada seorang yang bertanya, "Ya Rasulullah, bagaimana yang dimaksudkan dengan meminta untuk segera dikabulkan?". Baginda menjawab, "Seseorang berkata, 'Sesungguhnya aku sudah berdoa dan berdoa, namun sehingga saat ini aku belum melihat doaku dikabulkan', sehingga saat itu juga dia merasa penat berdoa dan tidak mahu lagi berdoa". (Hadis riwayat Muslim)

Doa adalah senjata umat islam. Kita digalakkan supaya berdoa setiap hari. Doa tidak semesti hanya untuk diri kita. Kita sebenarnya boleh juga berdoa untuk orang lain, seperti keluarga, sahabat, jiran dan juga kepada sekelian umat islam yang lain. Tidak rugi kalau kita berdoa untuk orang lain kerana kebaikan doa tersebut akan turut diperoleh oleh mereka yang mendoakannya. Daripada Abu Darda' .a., bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):

Doa seorang muslim untuk saudaranya (sesama muslim) tanpa pengetahuannya adalah mustajab. Setiap kali dia memanjatkan doa kebaikan untuk saudaranya, dia atas kepalanya ada seorang malaikat yang berkata, "Amin. Semoga engkau juga beroleh perkara yang sama". (Hadis riwayat Muslim)

Nabi SAW melarang umat islam daripada mendoakan keburukan kepada diri, anak-anak dan harta benda, kerana dikhuatiri doa tersebut bertepatan dengan waktu dimana doa dikabulkan. Jika berlakunya sedemikian, maka permintaan tersebut akan dikabulkan. Hadis yang menegaskan perkara ini diriwayatkan Muslim.

Daripada Jabir r.a., beliau berkata bahawa Rasullullah SAW bersabda (maksudnya):

Janganlah kamu mendoakan yang tidak baik untuk diri kamu, anak-anak kamu, dan harta kamu kerana boleh jadi doa kamu itu bertepatan dengan waktu yang mana waktu itu doa dikabulkan sehingga apa yang kamu mohonkan juga dikabulkan. (Hadis riwayat Muslim)

Sebab itu ibu bapa seboleh-bolehnya jangan memanggil anak-anak dengan panggilan-panggilan yang tidak elok. Sekiranya anak-anak melakukan sesuatu yang tidak diingini, sebaiknya panggil anak-anak dengan kata-kata seperti "Anak bertuah", "Anak soleh/solehah, mari sini...", dan sebagainya.


Begitu juga halnya dengan diri kita sendiri. Jangan sekali-kali suka mencerca diri dengan menyebutkan perkataan-perkataan seperti, "Celaka. Kalau aku tau aku takkan ....." atau perkataan seumpamanya. Kalaulah kita berkata sedemikian diwaktu mustajabnya doa, maka kecelakaan akan menimpa diri kita.

Begitu juga halnya dengan harta kita. Seringkali kita dengar perkataan-perkataan seperti "Tak guna punya kereta....", "Lembap punya PC...", "Bodoh punya handset..." dan sebagainya. Akibat daripada tidak sabar dan menahan diri daripada mengucapkan perkataan-perkataan sedemikian, maka kita mungkin terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk penjagaan harta benda kita. Walaupun benar harta kita bermasalah, kawal lah diri daripada mendoakan keburukan kepada harta kita.

Akhir kata, rajin-rajinlah berdoa dan bersabarlah kerana setiap doa itu sebenarnya suatu aset yang bernilai untuk kita di akhirat kelak. Oh ya, doakanlah saya agar dapat terus menulis dan menyumbangkan ilmu yangbermanfaat. Doakanlah juga agar semua umat islam menjadi umat yang bersatu dan kembali kepada cara hidup islam yang sebenar.

Selamat berdoa...

"Hendaklah engkau memperelokkan budi pekerti dan banyak berdiam diri, demi diriku dalam kekuasaanNya, alangkah semua makhluk mencontohi kedua-duanya"
-(H.R.ABU YA'LA)-
"Siapa yang berlatih kesabaran, nescaya Allah akan menyabarkan (menjadikannya sabar)"
~(H.R.BUKHARI & MUSLIM)~

Baca Selengkapnya....
Related Posts with Thumbnails